suria

Dua Lelaki Bantu Suspek larikan Diri Dengan Kereta Polis Ditahan

KOTA BAHARU: Polis Kelantan menahan dua lelaki kerana dipercayai membantu seorang tahanan melepaskan diri dengan melarikan kereta polis. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata kedua-dua lelaki yang ditahan itu berumur 27 dan 34 tahun, masing-masing berasal dari Kampung Dalam Rhu, Semerak, Pasir Puteh, dan Kampung Kweng Hitam, Machang.

"Kedua-duanya ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Galang, Pulai Chondong kira-kira pukul 2.55 pagi semalam.

"Dua lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan kerana dipercayai membantu suspek melarikan diri dalam kejadian tiga hari lalu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bit Base di Taman Kenangan dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 23 Mei lalu, seorang lelaki yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu berjaya melarikan diri menggunakan kereta Proton Waja yang digunakan polis ketika dia ditinggalkan bersendirian dalam kenderaan.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang ketika Mohd. Zaidi Majid, 33, yang digari dibawa oleh tiga anggota polis ke Pasir Tumboh dekat sini bagi tujuan pengecaman tempat kejadian siasatan kes kecurian kenderaan.

Suspek yang berjaya melarikan diri dengan membawa kenderaan polis itu memandu hampir 40 kilometer sehingga ke Pulai Chondong, Machang sebelum meninggalkan kenderaan di situ.

Amir Hamzah berkata pihaknya kini giat memburu suspek yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran. Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan terhadap suspek kerana melarikan diri daripada tahanan sah.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata bit base atau khemah polis itu disumbangkan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Kelantan dalam usaha membantu menangani jenayah jalanan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, bit base itu adalah yang kedua disumbangkan yayasan berkenaan kepada polis. - BERNAMA

Artikel Lain