suria

Warga India Ditahan Kerana Cubaan Seludup 480 Kura-Kura Ke Malaysia

NEW DELHI: Seorang anggota sindiket penyeludupan haiwan eksotik serantau ditahan di lapangan terbang Dhaka, Bangladesh, semalam kerana cubaan menyeludup 480 kura-kura bintang India (Geochelone Elegans) ke Malaysia.

Suspek berkenaan Peer Mohammad dari Tamil Nadu, India, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal ketika berdaftar di kaunter Malaysia Airlines (MAS) dengan membawa sebuah bagasi berat.

Menurut akhbar Daily Star di Dhaka, suspek berkenaan mengisytiharkan bagasinya mengandungi bahan makanan dan berjaya melepasi proses saringan penumpang di pintu keselamatan.

"Setelah mendapati bagasi suspek semakin berat, kami minta dia membukanya dan menemui kura-kura hidup. Suspek hendak berlepas ke Kuala Lumpur," kata detektif lapangan terbang itu, Mostafa Jamal, kepada media.

Semasa siasatan, polis turut menemui wang tunai US$102 (RM357), RM20 dan 100 baht (RM10) serta lima keping kad SIM asing dari suspek berusia 42 tahun, yang tiba di Dhaka dari Bangkok pada 22 Mei lalu.

Suspek berkenaan memberitahu pegawai penyiasat Bangladesh bahawa dia terbabit dalam kegiatan penyeludupan kura-kura dan haiwan eksotik lain dari India.

Akhbar itu menyebut kura-kura yang dirampas itu akan diserahkan kepada bahagian Hidupan Liar dan Pemuliharan Alam di Jabatan Perhutanan Bangladesh. - BERNAMA

Artikel Lain