suria

Pegawai Kerajaan Diingat Jangan Mudah Berpuas Hati

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Said hari ini mengingatkan pegawai-pegawai kerajaan di Terengganu agar tidak terlalu cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai kerana itu akan memberi kesan buruk kepada jabatan.

Beliau berkata, amalan mudah berpuas hati dengan apa yang dibuat akan melahirkan pegawai-pegawai yang tidak komited terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Pegawai kerajaan hendaklah sentiasa turun padang memantau sendiri sesuatu projek yang dijalankan dan tidak hanya bergantung laporan daripada pekerja di bawah.

"Hanya pegawai yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan jika ada masalah berbangkit," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah khidmat cemerlang peringkat negeri Terengganu 2010 di sini.

Seramai 39 kakitangan pelbagai peringkat yang menerima anugerah itu, masing-masing menerima wang tunai RM7,500 serta peruntukan menunaikan haji.

Bagi mereka yang telah menunai haji, diberi pilihan mengerjakan umrah. - BERNAMA

Artikel Lain