suria

Mekanik Dihukum Gantung Kerana Edar 17,769 Biji Pil Methampethamine

KOTA BAHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang mekanik kerana kesalahan mengedar 17,769 biji pil dadah jenis "methampethamine" di sebuah rumah di Pasir Mas, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim sewaktu membacakan penghakimannya, berkata pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap Shahrizan Sulong, 27, tanpa keraguan yang munasabah.

"Hanya ada satu sahaja hukuman yang boleh dijatuhkan terhadap kamu bersabit kesalahan ini, dan dengan ini, mahkamah memerintahkan kamu dihukum gantung sampai mati," katanya.

Shahrizan kelihatan tenang dan hanya menunduk muka ketika hukuman itu diumumkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Lati, Repek, Pasir Mas di sini pada 2 petang, 20 Mei 2008.

Shahrizan dihukum mengikut Seksyen 39(B)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Azimah Wan Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Amir Syafiq Venkadesh Narayanan. - BERNAMA

Artikel Lain