suria

Mahkamah Dengar Permohonan SPRM Berhubung Pasport Chithirakala Esok

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan esok bagi mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pasport bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), P.Chithirakala, selepas peguamnya menarik diri kerana tertuduh mahu mengendalikan kes itu sendiri.

"Kami tidak akan mewakilinya dalam isu ini, dia adalah seorang peguam yang berkelayakan dan akan mewakili dirinya sendiri," kata peguam Saseedharan Menon sebelum bertindak keluar mahkamah bersama-sama dua lagi peguam Chitirakala iaitu Prem Shandar dan B.Muralidharan.

Hakim Azizah Mahamud kemudiannya menetapkan esok untuk mendengar permohonan SPRM.

Chitirakala, 39, menghadapi tiga pertuduhan menipu membabitkan sejumlah RM4 juta milik MIED, yang merupakan cabang pendidikan parti MIC.

Dia didakwa menipu bekas Bendahari Agung MIC, Tan Sri M.Mahalingam, 74, seorang pengarah dan penandatangan cek kepada MIED Sdn Bhd, dengan mendorong beliau menandatangani tiga keping cek di Menara Manickavasagam pada 9 Jan, 30 Jan dan 3 Mei 2007.

Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Pada 19 Mei lalu, Chitirakala ditahan oleh SPRM daripada menaiki pesawat ke India di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas mendakwa menerima maklumat wanita itu cuba melarikan diri ke luar negara.

Prosiding hari ini bermula dengan Saseedharan menghentam Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais kerana mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Tinggi sedangkan ia patut didengar oleh Mahkamah Sesyen.

"Hari ini kami bersiap sedia untuk hadir di Mahkamah Tinggi dan kami amat malu apabila SPRM gagal mengemukakan permohonan yang betul," katanya.

Azizah bagaimanapun membenarkan Morais membetulkan kesilapan ejaan dalam permohonan itu.

Chitirakala kemudiannya memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak tergesa-gesa untuk meninggalkan tanahair dan perkara itu telahpun dinyatakan kepada SPRM bulan lepas.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 14 Jun untuk menyebut semula kes tipu Chitirakala. - BERNAMA

Artikel Lain