suria

Krisis Hutang Greek: Malaysia Masih Kondusif

DUNIA tidak henti-henti dikejutkan dengan pelbagai krisis hutang global sedangkan Malaysia kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi.

Krisis hutang terbaru Greek telah menimbulkan kebimbangan seluruh dunia sama ada ‘wabak’ itu akan menular secara global atau tidak.

Pasaran Wall Street yang hebat menjunam turut menyaksikan kebanyakan bursa dunia berada dalam keadaan panik.

Jika benar, ia pastinya akan memanjangkan lagi proses pemulihan ekonomi dunia yang sedang berada dalam fasa pengembangan.

Demi menyelamatkan Greek, kerajaan Eropah telah meluluskan dana sebanyak 110 bilion euro (RM451.78 bilion) termasuk bantuan kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sejumlah 30 bilion euro (RM123.22 bilion).

Namun, keadaan itu memberi implikasi kepada Greek yang terpaksa mengubah seluruh perbelanjaannya, sekaligus ‘mengikat’ bajet dan menaikkan cukai.

Sama ada Greek akan terus terselamat atau menjadi ‘kambing hitam’, sehingga kini masih sukar untuk diramalkan dalam jangka panjang.

Apa yang lebih penting, kesan itu kepada dunia hanya sementara kerana pasaran saham dunia masih lagi stabil berbanding di Eropah.

Kebanyakan bursa-bursa utama di Asia hanya mencatatkan kejatuhan yang kecil dengan bursa tempatan masih lagi berdaya tahan.

Mengimbau kembali krisis kewangan Asia 1997, Malaysia merupakan negara paling cepat yang pulih daripada krisis itu apabila menolak bantuan IMF.

Pada masa ini, sistem kewangan Malaysia masih kukuh, namun mengambil sikap berhati-hati dalam setiap percaturan ekonomi berikutan krisis hutang Greek.

Ia juga menunjukkan petanda pelabur asing mula beralih ke Asia dan Malaysia sudah tentu bersedia menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif kepada mereka.

Ini dapat dibuktikan dengan pencapaian Malaysia berada pada kedudukan ke-10 di kalangan negara paling berdaya saing di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia memantau perkembangan krisis itu dengan rapi sekiranya terdapat sebarang kesan terhadap ekonomi negara.

Jelasnya, tiada petunjuk mengenai masalah itu akan membawa kesan penularan seperti krisis kewangan di Amerika Syarikat sehingga tercetusnya krisis global.

Seperti yang dikatakan Najib itu, jelas menunjukkan bahawa Malaysia tidak seharusnya sentiasa menganggap negara di dalam zon selesa.

Malah, negara perlu terus membuat persediaan di samping memantau setiap perkembangan dalam pasaran dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Artikel Lain