suria

Gerakan Marin Perak Tumpas Cubaan Seludup 839 Karton Rokok Keretek

LUMUT: Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini berjaya mematahkan percubaan menyeludup masuk 839 karton rokok keretek dipercayai dari sebuah negara jiran untuk dipasarkan di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintahan Markas Operasi PGM Perak Deputi Supritendan (DSP) Shaari Ariffin berkata rampasan berkenaan dibuat dalam 'Ops Cegah Jenayah Octupus' yang dilakukan di sekitar daerah ini.

Katanya, lima anggota PGM sedang bertugas telah terserempak dengan sebuah van putih dalam kedaan mencurigakan di Ulu Kayan, Lekir yang sedang keluar dari lorong di tepi sungai tersebut kira-kira 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata ketika dihampiri, pemandu van terbabit melarikan diri dan selepas diperiksa, anggota PGM mendapati ada 10 karung guni berisi rokok keretek 839 karton rokok iaitu 80 karton rokok Gudang Garam Nusantara (Menthol Mild), 480 karton rokok Gudang Garam Nusantara Merah dan 270 karton rokok Gudang Garam Signature.

Shaari berkata nilai rampasan tidak termasuk duti import dianggarkan sebanyak RM17,040.88 termasuk van serta rokok dan ia merupakan kes pertama bagi tahun ini.

Katanya, PGM akan mengenal pasti pemilik kenderaan berkenaan untuk membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu membawa barang belum lulus cukai kastam. - BERNAMA

Artikel Lain