suria

Taktik Sembunyikan Dadah Di Bawah Timbunan Makanan Ringan Terbongkar

SHAH ALAM: Taktik satu sindiket yang didalangi oleh dua lelaki warganegara India menyembunyikan dadah di bawah timbunan makanan ringan dalam bagasi terbongkar apabila mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 30 tahun dan 41 tahun itu ditahan ketika sedang menolak troli mengandungi empat bagasi milik mereka dalam keadaan mencurigakan sebaik tiba dari Chennai, India.

Beliau berkata sebaik diperiksa, kesemua bagasi berkenaan mengandungi lapan plastik besar dan 20 paket kecil yang berisi dadah jenis ketamin seberat 10.1 kilogram dan bernilai kira-kira RM260,000.

"Kesemua beg yang dibawa dipenuhi dengan timbunan makanan ringan telah tamat tarikh luput serta beberapa pakaian dan dilapisi kepingan papan di mana sindiket terbabit menyembunyikan dadah yang dibawa di bawah kepingan papan dalam bagasi mereka," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Nordin berkata dadah berkenaan dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan selain turut menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum diedarkan ke negara lain.

Beliau berkata mengikut rekod, lelaki yang berusia 41 tahun dan mempunyai sebuah kedai runcit di India telah 12 kali keluar masuk ke negara ini sejak Mac lepas manakala rakannya yang bekerja di sebuah hotel di negara asalnya pernah masuk ke Malaysia pada Disember lepas.

Katanya kedua-dua lelaki itu kini tahan reman sehingga 30 Mei ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain