suria

SINGKAP: Hanya Dengan Makan Boleh Buat Duit

PETALING JAYA: Pelaburan dalam perniagaan makanan belum tentu sah dari segi undang-undang meskipun ia memberi pulangan lumayan sebagai jaminan kepada pelabur.

Begitulah peringatan yang sepatutnya diajukan kepada kira-kira 2,988 individu membabitkan pelaburan sejumlah RM21.3 juta dengan Island Red Cafe.

Skim pelaburan itu menyerupai skim kepentingan namun tidak sah kerana ia tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan disahkan berlaku penyelewengan.

Island Red Cafe menawarkan peluang pelaburan menerusi pengambilan deposit orang ramai untuk dilaburkan ke dalam syarikat.

Skim pelaburan itu berjaya menarik perhatian ramai berikutan konsep perniagaannya yang mudah melalui cara 'makan dan buat duit’.

Ia memperkenalkan konsep e-dagang yang memberi bonus kepada peserta dengan hanya makan dan mengajak rakan-rakan makan di restoran Island Red Cafe. Hakikatnya restoran ini memang wujud dengan menjual makanan Barat serta Melayu.

Pelabur bukan sahaja ditawarkan pulangan lumayan, malah mendapat insentif dan keistimewaan lain seperti ganjaran berbentuk baucar makan secara percuma.

Pelaburan itu dianggap terjamin kerana ia membabitkan perniagaan makanan dan diketahui konsep tersebut mudah untuk mendapatkan keuntungan.

Tetapi apa yang berlaku ialah syarikat ini melakukan kesalahan dengan mengambil deposit daripada orang-ramai tanpa kebenaran daripada SSM.

Oleh kerana kaedah pelaburannya begitu ringkas dengan memberi pulangan yang lumayan maka orang-ramai mudah terpengaruh dan terus melabur di atas kepentingan individu.

Pelaburan ini mula menimbulkan syak wasangka apabila ada di kalangan pelabur mula tidak menerima hasil pelaburan secara konsisten daripada pelaburan mereka lalu membuat aduan kepada SSM.

Dan hasil siasatan daripada para pelabur skim itu sendirilah maka terbongkarnya konsep pengambilan deposit tanpa kebenaran oleh restoran berkenaan.

Skim yang dianjurkan oleh Island Red Cafe Franchise Sdn Bhd itu telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Seksyen 366(3) dan Seksyen 363 (3) Akta Syarikat 1965 dan masih di dalam perbicaraan.

Artikel Lain