suria

SINGKAP: BNM Nasihat Tolak Tawaran Pelaburan ‘Lumayan’

PETALING JAYA: Pelaburan haram atau skim cepat kaya merupakan antara penipuan kewangan yang menjadi aktiviti bagi jenayah kolar putih.

Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM), penipuan kewangan didefinisikan sebagai satu penipuan yang disengajakan melibatkan urus niaga untuk tujuan keuntungan peribadi.

Katanya, penipuan kewangan adalah jenayah, malah mencabul undang-undang.

”Ia meliputi pengambilan deposit, skim pelaburan Internet dan skim dagangan mata wang asing, masing-masing dilakukan secara haram.

“Ini termasuk pemalsuan kad kredit dan kad debit, pemalsuan pengeluaran wang dan menyalahgunakan kedudukan dan nama BNM serta pegawai kanannya,” kata kenyataan itu lagi.

Sejak tahun 2003 sehingga 2008, BNM telah menyiasat sebanyak 23 syarikat yang menjalankan skim cepat kaya membabitkan lebih 400,000 pelabur dengan jumlah pelaburan lebih RM1.5 bilion.

Berdasarkan statistik tahun lalu, lapan kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat aktiviti pengambilan deposit tanpa lesen di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Pada tahun yang sama, empat syarikat dan individu yang disyaki menjalankan aktiviti tersebut telah dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan undang-undang. Kes-kes tersebut melibatkan seramai 150,000 pelabur dengan jumlah pelaburan lebih RM300 juta.

BNM berkata, orang ramai jangan terpedaya dengan skim cepat kaya yang hanya menawarkan pulangan tinggi yang tidak masuk akal untuk jumlah pelaburan kecil.

“Jika ditawarkan pelaburan yang ‘sukar dipercayai’, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan mendapatkan pengesahan tepat mengenainya.

“Penipuan kewangan seperti skim cepat kaya tidak mengira latar belakang, umur dan pendapatan seseorang, maka berwaspadalah,” nasihat bank pusat itu.

Orang ramai boleh menyemak butiran lanjut mengenai penipuan kewangan serta status perjalanan kes-kes berkaitan dengan melayari laman web http://fraudalert.bnm.gov.my.

Mereka juga boleh menghubungi BNM Telelink iaitu pusat perhubungan pelanggan di talian 1-300-88-5465 atau emel [email protected].

Selain itu, saluran menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) juga disediakan dengan menaip BNM TANYA [pertanyaan atau aduan anda] dan hantar kepada 15888.

Artikel Lain