suria

Siasat Jika Ada Pihak Seleweng Penjualan Rumah Kos Rendah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta kerajaan Selangor menyiasat dakwaan yang mengatakan berlaku penyelewengan dalam pembahagian flat kos rendah oleh pemaju perumahan di negeri itu.

Menterinya, Datuk Kong Cho Ha berkata, kementeriannya tidak terlibat dalam projek perumahan kos rendah ini memandangkan ia merupakan projek milik kerajaan negeri.

"Projek ini merupakan projek kerajaan negeri yang dimajukan oleh pemaju swasta dan setelah siap hanya kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan sahaja yang layak menentukan pembeli untuk unit-unit perumahan tersebut," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke kawasan PPR Bersepadu Bukit Jalil 1 dan 2 di sini hari ini.

Kong berkata walaupun setakat ini pihaknya belum lagi menerima apa-apa rungutan daripada orang ramai berkenaan isu tersebut, tapi ia perlu disiasat jika ia benar-benar berlaku.

"Setakat ini saya hanya ada mendengar rayuan beberapa individu yang berhasrat memiliki rumah kos rendah, dan saya menyuruh mereka berdaftar dengan kerajaan negeri bagi tujuan tersebut," katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan terdapat 500 pekerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang memiliki unit flat kos rendah di Petaling Jaya sedangkan golongan tersebut tidak layak memiliki perumahan tersebut.

Sementara itu Kong berkata sebanyak 3,792 unit rumah di PPR berkenaan hanya boleh diduduki selewat-selewatnya hujung tahun ini setelah masalah cerun dan kecurian di kawasan itu ditangani.

"Masalah yang kita hadapi adalah terdapat cerun di belakang ini yang mempunyai batu besar. Kita akan buat rawatan supaya ia tidak membahayakan penduduk dan kenderaan yang diletakkan di parkir berdekatan bongkah batu itu.

"Bagi masalah kecurian, kita akan mengganti semula peralatan yang dicuri dan tahap keselamatan sekitar kawasan ini juga akan ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata proses pemotongan bongkah tersebut dijangka selesai Julai ini dan setelah siap PPR tersebut akan diserahkan kepada DBKL untuk tindakan selanjutnya. Projek ini yang siap pada tahun 2007 merangkumi enam blok 18 tingkat, dibina di atas tanah seluas 21.05 hektar dengan kos sebanyak RM189.2 juta. - BERNAMA

Artikel Lain