suria

Rakyat Malaysia Pandang Remeh Isu Keselamatan Di Rumah

PETALING JAYA: Tahap kesedaran masyarakat negara ini tentang aspek keselamatan di rumah masih berada pada tahap yang rendah.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah menegaskan, kebanyakan rakyat kurang berfikir tentang bahaya dan risiko yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja sama ada di dalam atau luar rumah mereka.

"Ada juga yang memandang remeh aspek keselamatan di rumah. Bila berlaku kemalangan, barulah tercari-cari puncanya.

"Padahal, puncanya datang daripada mereka sendiri. Mereka yang mewujudkan situasi membahayakan di rumah," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes bayi berumur sembilan bulan yang maut akibat terjatuh dari tingkap bilik tidur rumah keluarganya di Tingkat 3 Kuarters Pendidikan Seafield, USJ, Subang Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Adam Haiqal Mohd Rostam terjatuh dari tingkap bilik yang tidak mempunyai jeriji ketika ibu bapanya sedang nyenyak tidur.

Dalam pada itu, Muhammad Sha'ani menyeru supaya ibu bapa, terutama yang mempunyai bayi dan anak kecil supaya lebih prihatin dan mampu menjangka risiko.

Jelasnya, terdapat banyak kaedah yang boleh diaplikasikan masyarakat untuk meningkatkan tahap keselamatan di rumah dan sebagai usaha menangani risiko, bukan meletakkan kesalahan pada jeriji semata-mata.

"Sekarang mahu pasang jeriji pun tinggi kosnya dan ini bukan soal jeriji sahaja. Isu ini lebih melibatkan pemikiran dan kesedaran.

"Kalau mereka ada anak kecil, rumah perlu diselenggara dengan betul, begitu juga dengan penyusunan perabot.

"Sama juga halnya bila ibu bapa membiarkan sahaja anak-anak bermain di tepi jalan. Mereka patut sedar anak mereka tidak tahu apa-apa tentang bahaya dan risiko," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya menggiatkan usaha dan mengadakan lebih banyak kempen berkaitan keselamatan di tempat tinggal.

Katanya, walaupun kes jatuh dari tingkap jarang-jarang berlaku, tidak mustahil akan berlaku kes-kes seumpamanya pada masa akan datang kerana kecuaian masyarakat.

"Di luar negara misalnya, tanda amaran diletakkan pada plastik supaya ibu bapa sedar risiko yang mungkin menimpa anak mereka jika bermain-main dengan plastik," katanya.

Artikel Lain