suria

Polis Percaya Banduan Yang Melarikan Diri Masih Berada Di Tawau

TAWAU: Polis percaya Anas Omar, 27, banduan yang meloloskan diri dari Penjara Tawau pada 15 Mei lepas, masih berada di Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Ibrahim Chin berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh, banduan itu yang melarikan diri ketika menjalani latihan pertanian di kebun sayur Penjara Tawau masih berada di sini dan usaha menjejakinya masih diteruskan.

"Pada masa ini kita sedang mempergiatkan operasi memburu banduan berkenaan menggunakan semua unit kepolisan yang ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian pembukaan balai polis baru Bergosong di Pulau Sebatik di sini hari ini.

Katanya polis telah mengedarkan risalah kepada orang ramai serta agensi-agensi penguatkuasa yang berkaitan mengenai Anas dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai banduan itu diminta segera menghubungi polis.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata polis Sabah juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengesan Anas sekiranya banduan itu cuba melarikan diri ke negara jiran itu. - BERNAMA

Artikel Lain