suria

Pengerusi SPRM Terima Laporan Khas Prosedur Siasatan Kes Beng Hock

Datuk Mohd Noor Abdullah(tiga dari kiri) dan Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamad bersama Ahli Jawatankuasa Aduan SPRM semassa Majlis Penyerahan Laporan Tahunan jawatankuasa itu di Putrajaya hari ini. Foto The Star Oleh AZHAR MAHFOF.
Datuk Mohd Noor Abdullah(tiga dari kiri) dan Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamad bersama Ahli Jawatankuasa Aduan SPRM semassa Majlis Penyerahan Laporan Tahunan jawatankuasa itu di Putrajaya hari ini. Foto The Star Oleh AZHAR MAHFOF.
Datuk Mohd Noor Abdullah(tiga dari kiri) dan Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamad bersama Ahli Jawatankuasa Aduan SPRM semassa Majlis Penyerahan Laporan Tahunan jawatankuasa itu di Putrajaya hari ini. Foto The Star Oleh AZHAR MAHFOF.

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerahkan satu laporan khas mengenai prosedur siasatan kes Teoh Beng Hock kepada Pengerusi SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed di sini.

Pengerusi Jawatankuasa itu, Datuk Mohd Noor Abdullah berkata, laporan itu berkaitan pemeriksaan prosedur siasatan dalam kes yang berprofil tinggi itu.

"Laporan itu berkaitan penyelidikan dalaman pihak kita sama ada kes tersebut dikendalikan dengan baik atau tidak oleh SPRM," katanya selepas majlis penyerahan Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan SPRM 2009 di sini.

Menurut Mohd Noor, pihak jawatankuasa tersebut telah menetapkan lapan terma rujukan dalam laporan tersebut yang mana diantaranya menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan mengenai aspek mengendalikan saksi dan merakam pernyataan dengan baik; memutuskan sama ada pegawai telah mematuhi garis panduan dalam mengendalikan kes tersebut dan menilai keterdesakan (urgency) siasatan dalam merakam pernyataan saksi hingga lewat pagi.

Dalam pada itu, beliau menyangkal bahawa laporan yang diserahkan itu adalah untuk menentukan sebab kematian pembantu politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu.

"Laporan berkenaan tidak berkaitan untuk menentukan kematian mangsa cuma kita sebagai jawatankuasa pemantauan hanya menilai tata kerja yang dilakukan oleh pihak penyiasatan SPRM," ujarnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isi kandungan laporan tersebut.

Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu, di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan sama, kira-kira 10 jam selepas memberi keterangan kepada SPRM dalam siasatan penyelewengan peruntukan kerajaan negeri.

Sementara itu, pihaknya telah menyarankan beberapa penambahbaikkan terhadap hasil pemantauan mengenai kes itu dengan mengemaskini perintah tetap Ketua Pesuruhjaya mengenai prosedur mengendalikan saksi dan merakam pernyataan sesuai dengan keperluan siasatan.

Selain itu, pihaknya turut menyarankan satu bilik khas diwujudkan bagi pemeriksaan saksi, rakaman pernyataan yang mempunyai kelengkapan CCTV, ruang rehat, bilik pegawai dengan keluasan mengikut kelayakan gred.

Pada majlis yang sama, beliau turut memperkenalkan ahli-ahli Jawatankuasa Aduan SPRM yang dilantik di bawah Seksyen 15(2) Akta SPRM 2009.

Mereka adalah Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Muhammad Mohd Mansor,Bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA), Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Peguam, Chooi Mun Sou, dan Peguam, Ravindran V. Muthu.

Mohd Noor turut menegaskan pemilihan ahli jawatankuasa tersebut adalah berdasarkan integriti yang tinggi terhadap setiap ahlinya dan tugas mereka bukanlah untuk menyiasat kes yang dilaporkan tetapi hanya untuk memantau dan memastikan semua pegawai di SPRM mengikut prosedur dan tata kerja yang betul.

Bagi Abu Kassim, pihaknya akan memperhalusi setiap cadangan yang disarankan oleh pihak jawatankuasa itu demi meningkatkan integriti SPRM.

Artikel Lain