suria

PAS Kaji Bukan Islam Mengundi Ketika Muktamar

KLANG: PAS bercadang untuk membenarkan anggota parti daripada kalangan bukan Islam turut terlibat membuat keputusan dalam parti dengan mengundi pada muktamarnya.

Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata bagaimanapun beberapa penelitian perlu dilakukan terlebih dahulu khususnya berkaitan perlembagaan parti sebelum keputusan dibuat.

"Kita perlu kepada banyak pindaan perlembagaan berhubung hal ini dan akan disusuli kemudian (bukan Islam boleh mengundi ketika muktamar)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dewan Himpunan Penyokong Pas Peringkat Kebangsaan di sini semalam.

Perkara itu juga katanya memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Bagaimanapun kata Abdul Hadi, anggota PAS bukan Islam tetap diberi peluang memainkan peranan mereka demi perjuangan parti menerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Sehingga kini dewan itu mempunyai kira-kira 20,000 anggota di seluruh negara, katanya.

"Hari ini kita telah melantik anggota jawatankuasa dewan itu di peringkat kebangsaan dan mereka akan menggerakkan operasi ke peringkat negeri selain menjadi wakil dewan dalam majlis-majlis rasmi parti," katanya.

Mengulas mengenai isu berlainan, Abdul Hadi berkata kelulusan mengenai lesen perjudian adalah di bawah kerajaan pusat.

"Kita memang telah lama mengadakan perbincangan dengan semua agama yang menyatakan judi salah di sisi agama dan ia dah lama kita haramkan," katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran yang dilontar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar Dewan Pemuda PAS mendesak kerajaan negeri yang dipimpin pakatan pembangkang menghapuskan lesen judi di negeri yang ditadbir mereka.

Kenyataan Perkasa itu sebagai respons terhadap Dewan Pemuda PAS yang mahu kerajaan menarik balik lesen pertaruhan Bola Sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung bulan depan. - BERNAMA

Artikel Lain