suria

Kemudahan Transit Tanpa Visa Diberi Semula Mulai 1 Julai

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi semula kemudahan transit tanpa visa kepada warga India, Sri Lanka, Pakistan dan Bangladesh mulai 1 Julai depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan memberi semula kemudahan tersebut adalah kerana kerajaan mendapati ia memberi faedah kepada industri pelancongan negara.

"Satu ketika dulu, pernah diadakan (kemudahan transit tanpa visa ini) tetapi atas sebab-sebab tertentu, ia ditarik balik.

"(Perkara ini) kita bincang semula kerana daripada segi faedah pelancongan, kita dapati adanya faedah," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan di sini Isnin.

Turut hadir, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Muhyiddin berkata bagi memaklumkan mengenai kemudahan itu, kerajaan akan berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan yang transit di Malaysia dan membawa penumpang-penumpang dari keempat-empat negara berkenaan.

Katanya Kementerian Dalam Negeri telah mencadangkan agar diwujudkan kriteria khas sebelum mereka diberikan kemudahan transit tanpa visa itu bagi memastikan ia tidak disalahgunakan.

"Beberapa perkara telah diputuskan untuk dipatuhi. Kalau ia dipersetujui maka transit khasnya yang datang dari empat negara itu boleh dibenarkan untuk masuk dengan pemberian transit tanpa visa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelancongan supaya lebih banyak lagi penerbangan ke Malaysia dalam usaha meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negara ini.

"Kita minta syarikat penerbangan seperti MAS, AirAsia dan AirAsia X berbincang mendapatkan lebih banyak hak pendaratan dan sebagainya serta membawa pelancong ke negara ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain