suria

Geng Penyamun Bersiri Rumah Mewah Tumpas

KUALA LUMPUR: Kelicikan empat penyamun bersiri yang gemar menyamun rumah mewah di sekitar Lembah Klang ketika mangsa keluar bekerja akhirnya tumpas apabila ditahan polis dalam satu operasi baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata hasil maklumat orang awam dan risikan, empat lelaki berumur antara 28 hingga 32 tahun itu ditahan di sebuah lokasi sebelum suspek membawa polis ke sebuah rumah di Prima Pelangi, dekat sini 19 Mei lepas.

"Di dalam rumah itu, kami menemui sejumlah koleksi barangan samun kumpulan ini sepanjang kegiatan mereka menyamun sejak beberapa tahun lepas.

"Antara barangan itu adalah kamera digital, gitar elektrik, barang antik, wang tunai matawang asing, sistem audio, beg, jam tangan dan lain-lain lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya siasatan lanjut ke atas kumpulan ini mendapati mereka telah terlibat lebih daripada 20 kes samun rumah mewah dengan modus operandi mereka menyerang pembantu rumah atau ahli keluarga ketika pemilik rumah keluar bekerja.

Menurutnya, dalam kes samun terbaru, seorang Datuk kerugian hampir RM350,000 apabila peti besi rumahnya dilarikan seorang lelaki yang bersenjatakan parang ketika menyamun rumahnya 6 Mei lepas.

"Peti besi itu telah ditemui semula dirumah suspek ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, salah seorang suspek mengumpil pintu depan rumah terbabit sebelum mengikat pembantu rumah dan melarikan peti besi itu."

"Pembantu rumah itu kemudian berjaya melepaskan diri dan menghubungi majikannya dan polis bagi memaklumkan kejadian itu," katanya.

Ku berkata kesemua suspek telah ditahan reman sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata.

Dalam kes berasingan, beliau berkata polis menahan seorang dari tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam sejumlah kes samun di beberapa negeri sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya lelaki berumur 48 tahun itu ditahan oleh Polis Johor pada 3 Mei lepas selepas dipercayai baru menyamun sebuah rumah di Muar.

Katanya siasatan lanjut ke atas suspek mendapati suspek adalah penyamun bersiri bersama dua lagi rakannya yang masih lagi diburu polis.

Ku berkata kumpulan ini ada terlibat dalam kes samun yang menyebabkan Bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Patrick Wong meninggal dunia akibat cedera parah setelah terjatuh dari tingkat satu banglonya.

Patrick terjatuh ketika cuba keluar dari rumahnya untuk mendapatkan bantuan apabila dua lelaki memecah masuk banglo dua tingkatnya itu di Lorong Kemaris 1, Bukit Bandaraya, Bangsar, di sini November lepas.

Katanya suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur bagi membantu siasatan terhadap kes terbabit selain beberapa kes pecah rumah lagi.

Susppek ditahan reman sehingga 28 Mei ini dan kes disiasat Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata. - BERNAMA

Artikel Lain