suria

Dua Maut Satu Parah Dalam Kemalangan Berasingan

IPOH: Dua terbunuh, manakala seorang cedera parah dalam dua kemalangan berasingan di Kampar dan Perak Tengah, semalam dan hari ini, menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh.

Beliau berkata, dalam kejadian pertama kira-kira pukul 10.45 malam tadi, seorang kelindan lori terbunuh manakala pemandunya cedera parah selepas lori yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori di hadapannya di Km 296.8 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kampar.

Mangsa yang terbunuh Mohd Fauzi Saat, 33 berasal dari Beseri, Perlis manakala pemandunya Rosli Abdul Razak, 54 dari Bidong, Kedah cedera parah di kepala dan badan.

Mohd Fauzi meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala Rosli turut dirawat di hospital yang sama, katanya ketika dihubungi hari ini.

Aziz berkata siasatan awal polis mendapati lori yang dipandu Rosli membawa muatan ikan dikatakan terbabas ke kiri jalan selepas di rempuh sebuah lori dari arah belakang menyebabkan lorinya merempuh belakang sebuah lori di hadapannya yang membawa muatan sayur. Ketika kejadian ketiga-tiga lori berkenaan dalam perjalanan dari utara ke selatan manakala pemandu lori membawa muatan batu dan sayur tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Dalam kejadian lain, seorang pemandu lori terbunuh selepas bertembung dengan sebuah lori kontena di Km 8 Jalan Simpang Empat-Kampung Gajah dekat Parit hari ini.

Katanya mangsa Chu Kim Seng, 60 berasal dari Sungai Siput Utara terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi tadi akibat cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di celah kedua-dua kenderaan itu.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, katanya.

Siasatan awal polis mendapati mangsa yang memandu sendirian membawa muatan kelapa dalam perjalanan dari Kampung Gajah ke Simpang Empat dikatakan gagal mengawal kenderaanya lalu terbabas ke kanan jalan dan bertembung dengan lori kontena dari arah hadapan.

Pemandu lori kontena tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis. - BERNAMA

Artikel Lain