suria

Umno Bercadang Adakan Induksi Untuk Anggota Baru

PUTRAJAYA: Umno bercadang mengadakan kursus induksi untuk semua anggota yang baru menyertai parti itu bagi menerapkan nilai-nilai perjuangan parti.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan mengenainya akan dikemuka pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno Rabu ini.

Kalau diterima oleh jawatankuasa, kursus itu akan diwajibkan ke atas semua anggota baru, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Cawangan Anggerik, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata kursus selama dua hari itu akan menerangkan kepada anggota berkenaan perlembagaan parti, tugas dan tanggungjawab mereka sebagai anggota dan sumbangan kepada parti dan Barisan Nasional (BN).

"Ini kerana kebanyakan mereka menjadi anggota tidak tahu kenapa mereka menjadi anggota," katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat peringkat cawangan yang bermula sejak 1 Mei lepas, Tengku Adnan berkata Umno berharap mesyuarat itu digunakan anggota akar umbi untuk meluahkan pandangan mereka berkenaan langkah transformasi yang dilaksana kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain