suria

Pasangan Kekasih Maut Dalam Kemalangan Kereta

KLANG: Sepasang kekasih terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kemalangan di KM 21.7 Lebuh Raya Kesas di sini pukul 5.30 pagi tadi.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor Supt Che Hussin Omar berkata Ng Kai Seng dan teman wanitanya Wong Pao Wen, kedua-duanya berusia 19 tahun, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata kejadian berlaku ketika kedua mereka dalam perjalanan pulang ke Bukit Tinggi di sini.

"Kereta yang dinaiki pasangan itu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang telah terbabas dan berpusing-pusing serta melanggar pembahagi jalan beberapa kali menyebabkan mereka tercampak ke atas jalan raya," katanya.

Che Hussin berkata siasatan awal mendapati kereta itu dipandu dengan kelajuan 150km sejam sebelum kemalangan berdasarkan bacaan pada meter kelajuan kereta tersebut.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat.

Artikel Lain