suria

Suami Isteri Rakyat India Bunuh Diri Kerana Anak Cacat - Polis

KUALA LUMPUR: Kecewa kerana memiliki seorang anak yang mengalami kecacatan mental, dipercayai punca pasangan suami isteri rakyat India bertindak terjun dari tingkat 29 sebuah kondominum mewah di sini selepas membunuh anak mereka yang berusia dua tahun itu, Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata hasil siasatan mendapati pasangan terbabit tidak dapat menerima kenyataan lalu bertindak membunuh kanak-kanak malang itu sebelum mereka nekad terjun dari kondominum berkenaan.

"Tiada unsur jenayah atau faktor lain yang kami temui kecuali mereka kecewa anak mereka cacat lalu membunuh anak itu sebelum mereka membunuh diri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Community Policing dan Pelancaran Unit Sukarelawan Kempen Pencegahan Jenayah peringkat Ibu Pejabat Polis Brickfields di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.

Dalam kejadian itu, Manish Dinesh Wadhwani, 34 dan isterinya Niveditaa Manish Wadhwani, 29, yang berasal dari Mumbai, India terjun dari kondomium itu kira-kira pukul 4 pagi.

Anak pasangan itu, Yoganash, ditemui mati di bilik tidur utama rumah mereka dengan hidungnya disumbat kapas dan dipercayai diberi minum racun tikus.

"Mayat tiga sekeluarga itu telah dihantar pulang oleh majikan Manish ke negara asal mereka semalam," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain