suria

PGSM Gesa Victoria Batalkan Hasrat Jadi Peguam Syarie

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini mendesak Victoria Jayaseele Martin supaya menarik balik hasratnya mahu dilantik sebagai peguam syarie demi keharmonian Islam serta agama-agama lain di negara ini.

Pengerusi PGSM, Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, desakan itu dibuat kerana peguam syarie di Mahkamah Syariah di negara ini mestilah seorang yang beragama Islam.

Menurutnya, dalam mengadili kes berkaitan Islam dan penganutnya, kepercayaan terhadap Allah SWT dan akidah yang tinggi perlu untuk menegakkan keadilan di mahkamah.

"Jika tiada kepercayaan terhadap Allah SWT dan agama Islam itu sendiri bagaimana seseorang hendak mewakili dan menegakkan keadilan terhadap anak guamnya?

"Mahkamah Syariah juga adalah hak eksklusif orang Islam kerana undang-undang yang digunakan di Mahkamah Syariah hanya melibatkan pertikaian orang Islam," katanya pada sidang media di sini semalam.

Tambah Mohamad Isa, menyerahkan tugas peguam syarie kepada bukan Islam boleh mencemarkan kesucian Islam dan akan mengakibatkan salah tafsiran terhadap hukum syarak serta mengelirukan masyarakat.

"Biarlah pertikaian yang melibatkan orang Islam diwakili oleh peguam syarie beragama Islam bagi memudahkan segala urusan," katanya.

Tidak menolak tindakan wanita berusia 48 tahun itu sebagai menghina Islam, Mohamad Isa berkata, pihaknya tegas dalam isu ini kerana syarat tersebut telah termaktub dalam peraturan dan enakmen Mahkamah Syariah.

Malah katanya, di bawah Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 sendiri jelas memperuntukkan bahawa hanya pemohon yang beragama Islam sahaja yang layak untuk memohon dan diterima sebagai peguam syariah di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, beliau memberitahu, belum ada apa-apa perbincangan khusus pihak PGSM dengan Victoria bagi menangani isu itu.

Dalam pada itu, Mohamad Isa menggesa negeri-negeri yang tidak meletakkan syarat mesti beragama Islam kepada pemohon yang ingin menjadi peguam syarie supaya segera berbuat demikian.

Beliau juga menyeru para mufti di negara ini mengeluarkan fatwa rasmi di peringkat kebangsaan dan di peringkat negeri bahawa orang Islam sahaja boleh menjadi peguam syarie.

Pada Jumaat lalu, Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk membolehkan beliau bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Ini adalah kes pertama di Kuala Lumpur apabila seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar bahawa hanya peguam yang beragama Islam sahaja boleh bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah.

Victoria yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonanya sebagai peguam syarie ditolak Majlis Agama Islam melalui jawatankuasa peguam syarie pada 2006.

Artikel Lain