suria

Lelaki Disyaki Bunuh Pemandu Konsulat Malaysia Dihadapkan Ke Mahkamah Di Sydney

MELBOURNE: Seorang lelaki Sydney yang disyaki membunuh kekasih ibunya yang berasal dari Malaysia, telah dihadapkan ke sebuah mahkamah Sydney selepas dihantar pulang dari Singapura.

Associated Press melaporkan Andrew Iskandar, 20, tampil melalui pautan video di Parramatta Bail Court hari ini setelah mendapat perintah ekstradisi daripada Singapura malam semalam.

Lelaki terbabit tidak memohon diikat jamin dan oleh itu dikenakan perintah reman.

Polis menuduh pelajar universiti itu membunuh Mohd Shah Saemin, 43, yang berasal dari Melaka, di luar rumahnya di Leichhardt, di bahagian barat Sydney pada 21 Februari.

Shah bekerja sebagai pemandu di pejabat konsul Malaysia di Sydney dan di situlah dia menjalin hubungan dengan ibu Andrew Iskandar dikenali sebagai Nita Iskandar, 46, yang bertugas sebagai kerani akaun.

Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat diserang dua lelaki dengan menggunakan pisau dan tukul.

Andrew Iskandar hanya membisu ketika dihadapkan ke mahkamah, yang turut dihadiri anggota keluarganya.

Sebelum ini, polis telah mengenakan tuduhan membunuh terhadap bapanya Hazairin Iskandar, 55, seorang pemilik dan pemandu teksi. Nita Iskandar pula dituduh mempunyai kaitan dengan pembunuhan Shah dan menghalang siasatan polis berhubung kes itu.

Andrew Iskandar akan dihadapkan ke Central Local Court pada 13 Julai dan ibu bapanya dijangka hadir pada hari berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain