suria

Jangkitan HIV/AIDS Di Malaysia Menurun

KUALA LUMPUR: Kadar jangkitan HIV/AIDS di negara ini mencatatkan penurunan yang stabil bagi tempoh 2002 hingga 2008 iaitu daripada 28.5 peratus kepada 12.8 peratus bagi setiap 100,000 penduduk. Presiden Majlis AIDS Malaysia Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, jika trend itu berterusan Malaysia berupaya mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Milenium untuk menurunkan kadar jangkitan kepada 11 kes bagi setiap 100,000 orang pada 2015. Kadar jangkitan bagi setiap 100,000 penduduk Malaysia pada 2002 ialah 6,978 kes dan angka itu menurun kepada 3,452 kes pada 2008, katanya kepada pemberita selepas perasmian mesyuarat dwitahunan majlis itu, di sini hari ini.

Bagaimanapun Dr Adeeba berkata, kadar jangkitan di kalangan wanita khususnya di luar bandar didapati meningkat hampir 10 peratus iaitu daripada 9.4 peratus pada tahun 2000 kepada 19.1 peratus pada 2008.

"Walaupun kebanyakan kes HIV adalah pengguna dadah secara suntikan, ada juga peningkatan sehingga 29.9 peratus jangkitan berlaku melalui hubungan heteroseksual.

"Kurangnya pemahaman mengenai HIV dan AIDS menyebabkan mereka yang hidup dengan virus itu terpinggir daripada kehidupan bermasyarakat, selain menjadi punca peningkatan jangkitan khususnya di kalangan wanita dan kanak-kanak," katanya. Beliau berkata, masalah itu juga diburukkan dengan sikap sesetengah pengamal perubatan yang memberi layanan berbeza kepada penghidap HIV/AIDS sekali gus menyukarkan pengurusan rawatan.

Selain itu, Dr Adeeba berkata, tinjauan kebangsaan yang dijalankan juga mendapati kurang daripada 50 peratus rakyat Malaysia berumur 13 tahun ke atas mempunyai pengetahuan mencukupi berkaitan cara jangkitan HIV.

"Ini bermakna program kesedaran perlu dilaksanakan secara berterusan serta tumpuan utama kepada golongan terpinggir di luar bandar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain