suria

Bakat Tempatan Menyerlah Dalam Pertandingan Filem Pendek MAS

PETALING JAYA: Sebuah filem komedi pendek bertajuk Bilik Tetamu Tok Nab, yang memaparkan bagaimana "hantu" melayan tetamu nenek itu, memenangi hadiah utama Pertandingan Detik-detik Filem Pendek MH Malaysia Airlines (MAS) 2010.

Kreativiti filem ini yang dihasilkan Mohd Afiq Deen Azizan akan ditayangkan kepada penumpang dari seluruh dunia dalam hiburan pesawat MAS untuk sebulan mulai Ogos ini.

Penuntut, berusia 23 tahun dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menerima hadiah tiket penerbangan MAS pergi/balik ke mana-mana destinasi syarikat penerbangan itu yang dipilih.

Filem itu memberikan kejutan kepada hakim kerana pendekatannya mengenai hospitaliti rakyat Malaysia yang tidak dijangkakan, kata Pengurus Besar Kanan Komunikas MAS Indira Nair ketika mengumumkan keputusan pertandingan tersebut di sini hari ini.

Detik-detik MH dilancarkan Mac tahun ini dengan objektif menyediakan pembuat filem satu landasan untuk mempamerkan bakat mereka.

Pertandingan itu yang terbuka kepada penuntut asing yang menuntut di universiti Malaysia, mensyaratkan filem itu panjangnya tidak lebih tiga minit yang memaparkan kreativiti hospitaliti rakyat Malaysia dan sebanyak 70 penyertaan daripada lebih 120 penuntut dari 20 institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Sebanyak 13 penyertaan disenaraipendek dan bertanding untuk hadiah-hadiah termasuk Anugerah Pilihan Orang Ramai.

Naib johan bertajuk The Tarik? , dimenangi Ahmad Hadi Abdul Rahman, Tafilah Md Yusof dan Mohd Fahmy Ahmad Fuad dari SEGi University College.

Pemenang Anugerah Pilihan Orang Ramai bertajuk Sekampung Sehati dimenangi Curtin University of Technology, kampus Sarawak yang dianggotai Belinda Yap Chien Jiun, Julia Chong Yee Ling dan Wong Sie June.

Sebanyak 13 pemenang utama filem pendek itu boleh ditonton di http://mastraveller.com/detikMH. - BERNAMA

Artikel Lain