suria

Ahli Parlimen Kapar Nafi Umum Keluar PKR

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam menafikan beliau akan mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam satu di sidang media di sebuah hotel di Shah Alam petang ini.

Manikavasagam bagaimanapun mengakui maklum berhubung khabar angin mengenai perkara itu yang mula tersebar sejak semalam.

"Saya tak akan hadiri mana-mana sidang media, saya tak bercadang nak buat apa-apa pengumuman untuk tinggalkan PKR.

"Itu semua hanya khabar angin yang sengaja disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada mStar Online di sini.

Manikavasagam berkata demikian bagi mengulas mengenai khabar angin yang disebarkan melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Internet yang mengatakan beliau akan mengadakan sidang media pada pukul 2 petang di Shah Alam dekat sini bagi mengumumkan tindakannya keluar parti.

Bagaimanapun beliau menegaskan akan kekal bersama PKR dan Pakatan Rakyat.

"Saya tak akan keluar parti, saya setia bersama PKR dan pakatan.

"Malah pagi tadi saya berada di pusat khidmat saya untuk mengadakan pertemuan dengan rakyat di kawasan saya... sekarang saya ada di Meru dan tak akan ke Shah Alam," jelasnya.

Artikel Lain