suria

Tidak Puas Hati, Tinggalkan PKR Sekarang

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengeluarkan notis lisan kepada semua ahlinya yang tidak berpuas hati supaya meninggalkan parti itu dalam tempoh sebulan tanpa perlu menunggu tibanya pilihan raya kecil untuk berbuat demikian.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, notis lisan sudah memadai dan tepat pada masanya berdasarkan perkembangan terkini rangkaian beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan parti terutama semasa pilihan raya-pilihan raya kecil.

"Mana-mana pihak yang berfikir nak tinggalkan parti boleh berbuat demikian sekarang.

"Tak perlu tunggu bila tibanya pilihan raya kecil untuk berbuat demikian kerana ia akan menimbulkan masalah bila mereka keluar semasa musim pilihan raya kecil... ia akan menjejaskan strategi parti," katanya kepada The Star kelmarin.

Beliau berkata bagi mereka yang ikhlas tidak akan meninggalkan parti semasa pilihan raya dan tidak akan membuat sebarang kenyataan.

"Mereka akan tinggalkan parti secara senyap," katanya.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mengumumkan pendirian keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas kira-kira 48 jam sebelum hari mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen Sibu.

Bulan lalu, ADUN Bakar Arang, Tan Wei Shu bersama beberapa pemimpin PKR peringkat cabang dan ranting mengumumkan pendirian yang sama semasa musim pilihan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Sehingga kini PKR kehilangan lima orang Ahli Parlimen dan empat ADUN sejak pilihan raya umum 2008.

Selain itu Fuziah berkata, individu yang menyertai PAS dan DAP mempunyai objektif yang jelas sebaliknya ada yang menyertai PKR dengan mempunyai banyak faktor.

"Ada yang sertai PKR kerana mereka marah kepada Barisan Nasional (BN), ada yang kerana mempunyai kepentingan peribadi ataupun kerana projek-projek tertetu malah ada juga yang kerana bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mereka bukan menyertai PKR untuk memastikan negara ini berubah kearah kebaikkan untuk generasi akan datang, bila mereka menghadapi masalah kecil, mereka jadi tak waras terutama bila ditawarkan ganjaran oleh sesetengan pihak.

"Sebab itulah kami perlu membersihkan dan mengukuhkan parti dan terus bergerak ke hadapan," katanya.

Artikel Lain