suria

SPRM Gugur Rayuan Berhubung Pembebasan KP Tourism Malaysia

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab daripada tuduhan rasuah.

Sambil melahirkan rasa lega, Mirza yang dihubungi berkata, keputusan itu menggembirakannya kerana selama kes itu dibicarakan, ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kerjayanya.

Beliau kini sibuk dengan sambutan Citrawarna Malaysia di sini.

Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa ketika dihubungi mengesahkan bahawa SPRM bertindak menarik balik rayuan itu kerana keterangan saksi tidak mencukupi.

Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha membenarkan permohonan SPRM itu.

Pada 24 Julai 2009, Hakim Mahkamah Sesyen Zainal Abidin Kamaruddin melepas dan membebaskan Mirza daripada tuduhan bersetuju menerima rawatan pergigian bernilai RM13,860 lima tahun lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mirza, 52, didakwa bersetuju menerima tanpa balasan, rawatan pergigian itu yang bayarannya dijelaskan oleh Pengarah Syarikat Perunding Pakar Media Zulhisyam Ayob, walaupun mengetahui bahawa syarikat itu mempunyai hubungan dengan fungsi rasmi beliau sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan ketika itu.

Pada 18 September tahun lepas, pihak pendakwaaan memfailkan notis usul supaya mahkamah membenarkan pihaknya merayu keputusan Mahkamah Sesyen dengan memfailkan notis usul bagi menghidupkan semula rayuan yang telah dicabar oleh mahkamah dan memohon kebenaran untuk memfailkan petisyen rayuan di luar had masa mengikut Seksyen 310 Kanun Acara Jenayah.

Notis rayuan sepatutnya difailkan pada 2 September tahun lepas tetapi pihak pendakwaan melebihi had masa itu selama dua hari.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan SPRM untuk menghidupkan semula rayuan terhadap pelepasan dan pembebasan Mirza atas alasan kelewatan yang berlaku bukanlah disengajakan. - BERNAMA

Artikel Lain