Permohonan Untuk Dakwa Nazri Hina Mahkamah Ditolak - Semasa | mStar

Permohonan Untuk Dakwa Nazri Hina Mahkamah Ditolak

SHAH ALAM: Koroner Azmil Muntapha Abbas yang mendengar inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini menolak permohonan abang mendiang untuk dibenar memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Beliau memutuskan bahawa tidak ada keterangan yang jelas atau kukuh bagi menunjukkan dakwaan Nazri bahawa pakar patalogi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunan adalah seorang "pembohong", merupakan percubaan untuk campur tangan dalam prosiding inkues itu.

"Kenyataan Datuk Seri Nazri adalah pendapatnya dan terpulang kepada mahkamah sama ada mahu menerima atau menolak pendapat pakar Dr Pornthip," kata Azmil, yang bagaimanapun bersetuju bahawa kenyataan menteri itu adalah sesuatu yang tidak boleh "diterima".

Beliau berkata semua orang berhak mengemukakan pendapat masing-masing, malah peguam Karpal Singh yang mewakili abang Teoh iaitu Meng Kee, juga telah mengeluarkan beberapa kenyataan terhadap Nazri ketika berhujah pada pendengaran permohonan itu.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah tidak akan memanjangkan isu itu.

Azmil berkata bahawa pada peringkat permohonan untuk kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Nazri, mahkamah perlu menentukan sama ada terdapat kes prima facie berdasarkan afidavit sokongan yang dikemukakan pemohon.

"Inkues adalah satu misi mencari fakta dan ia tidak terlibat dengan pihak pendakwaan atau pembelaan. Ia hanyalah untuk menentukan bagaimana, di mana, bila dan punca kematian seseorang itu, sama ada secara biasa atau luar biasa," katanya.

Beliau berkata peranan Dr Pornthip adalah bagi membantu mahkamah dengan memberikan pendapatnya sebagai pakar dan ia perlu dibezakan dengan kenyataan atau fakta di mana orang lain mungkin mempunyai pendapat yang tidak sama.

"Dalam inkues ini, Dr Pornthip berhak memberikan pendapatnya, begitu juga dengan Karpal Singh dan Datuk Seri Nazri," kata Azmil ketika menolak permohonan itu.

Pada 11 April, portal berita Malaysiakini melaporkan bahawa Mohd Nazri telah menuduh Dr Pornthip sebagai seorang "pembohong" selepas pakar patologi itu mendakwa terdapat tekanan politik supaya beliau tidak hadir memberi keterangan pada inkues itu.

Lima hari selepas itu, Meng Kee memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) berhubung perkara itu dan pada 28 April lalu, Azmil membenarkan permohonan Peguam Negara untuk menjadi pencelah dalam kes itu.

Beng Hock, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini pada 16 Julai tahun lepas setelah dia memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Semalam, Azmil menetapkan 11 Jun untuk mendengar permohonan kerajaan negeri Selangor bagi membenarkan Dr Pornthip memberi keterangan melalui telepersidangan video selepas pakar patologi itu memaklumkan bahawa beliau tidak dapat menghadiri prosiding inkues tersebut kerana tidak mendapat pelepasan daripada Kementerian Kehakiman Thailand. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

Artikel Lain