suria

Permohonan Pelajar Pekak Ikuti Kursus Pendidikan Khas Kembali Cerah

KOTA BAHARU: Impian seorang pelajar pekak untuk mengikuti Kursus Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah, di Politeknik Ungku Omar, Perak kembali cerah apabila Kementerian Pelajaran berjanji untuk mempertimbangkan permohonan pelajar itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, permohonan pelajar itu, Muhammad Affan Ghazali, 20, perlu diberi pertimbangan sekiranya beliau memiliki kelayakan yang sewajarnya.

"Pada saya kita perlu beri pertimbangan kepada permohonan tersebut. Saya akan menghubungi bahagian pendidikan guru pada hari ini supaya dipertimbangkan semula pelajar itu dan diberi peluang untuk temuduga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Muhammad Affan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 melahirkan kekecewaan kerana permohonannya untuk mengikuti Kursus Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah, ditolak.

Beliau yang mengalami kecacatan pendengaran sejak berusia enam tahun kerana demam panas, adalah bekas pelajar jurusan sastera Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan, di Georgetown, Pulau Pinang itu memperoleh 2A dan 3B dalam peperiksaan itu, bercita-cita menjadi guru bagi membantu insan senasibnya.

Muhammad Affan berkata, beliau memohon mengikuti kursus Perguruan Lepas Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) kerana ingin menjadi guru pendidikan khas malahan sanggup menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam kerana ingin menyambung pengajian dalam bidang pendidikan khas.

Sementara itu Puad berkata, walaupun kelayakan untuk menjadi guru pendidikan khas adalah memperoleh keputusan 3A 2B, permohonan pelajar itu tetap perlu dipertimbangkan kerana kesungguhannya untuk membantu golongan senasib.

"Pelajar itu berminat untuk jadi guru dan tidak mahu menyambung ke tingkatan enam meskipun menerima tawaran. Permohonan beliau harus dipertimbangkan. Kes ini akan diselesaikan, kalau dia (pelajar) itu layak, kena terima," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain