suria

Najib Akan Umum Rombakan Kabinet?

PETALING JAYA: Mungkinkah akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat ini.

Itu cakap-cakap yang kian hangat diperkatakan di kalangan Jemaah Menteri dan pemerhati politik sekarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan akan mengumumkan barisan baru anggota Kabinet pada bila-bila masa.

"Akan ada rombakan tapi belum tahu masa untuk diumumkan," kata sumber kepada mStar Online di sini hari ini.

Berdasarkan perubahan pucuk pimpinan MCA yang kini diterajui Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Najib mungkin tidak akan mengambil masa lama untuk membawa masuk kembali beliau ke Kabinet.

Walaupun sebelum ini dilaporkan, kedudukan sebagai menteri kanan bukan keutamaan Chua ketika ini namun kedudukannya sebagai Presiden MCA tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh Najib.

Pada masa ini, dua tokoh MCA yang tewas pada pemilihan parti baru-baru ini sekarang menyandang dua jawatan menteri iaitu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Berikutan itu terdapat spekulasi mengatakan kedua-dua pemimpin berkenaan akan digantikan sejajar dengan barisan baru kepimpinan MCA.

Tidak ketinggalan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas yang mahu mencalonkan wakil baru dalam Kabinet menggantikan bekas Ahli Majlis Tertingginya, Datuk T. Murugiah yang sehingga kini memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Artikel Lain