suria

Kegiatan Pengikut Al-Arqam Dipantau: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memantau kegiatan pengikut bekas pemimpin Al-Arqam bagi memastikan pertubuhan yang diharamkan itu tidak dihidupkan semula.

"Kita (kerajaan) akan pantau. Kita akan tengok perkara sebenar kerana kita tidak mahu perkara ini (kegiatan Al-Arqam) berulang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kali ketiga di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar semalam bahawa pengikut Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya, kembali mencetuskan kontroversi apabila mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya bekas pemimpin Al-Arqam itu cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.

Konsert itu diadakan empat hari selepas Ashaari, 73, meninggal dunia di Hospital KPJ Ipoh Specialist pada 13 Mei lepas akibat jangkitan paru-paru.

Mengulas lanjut, Muhyiddin meminta pengikut dan keluarga Ashaari supaya menerima hakikat bahawa Abuya sudah meninggal dunia dan mematuhi fatwa bahawa gerakan Al-Arqam adalah haram.

"Itu adalah keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang disokong oleh majlis agama Islam negeri-negeri termasuk Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang sudahpun mengharamkan Al-Arqam.

"Jadi sepatutnya, selepas ini tidak timbul sama ada Al-Arqam ini boleh dihidupkan kembali. Kita sebagai orang Islam kena sedar setiap insan akan sampai waktunya dia akan meninggal dunia.

"Itu satu kenyataan...(kepercayaan) kononnya Ashaari masih hidup bercanggah dengan akidah kita sebagai orang Islam dan kita tidak akan membenarkan ajaran sesat ini dihidupkan kembali," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin memberi jaminan bahawa pihak berkuasa keselamatan akan memantau secara dekat kegiatan pengikut bekas pemimpin Al-Arqam itu dan berharap orang ramai tidak bimbang dengan situasi itu.

Beliau berkata, pihak keselamatan akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi mengawasi kegiatan pertubuhan itu.

"Sesiapa yang mendatangkan risiko kepada keselamatan negara dan membawa ajaran yang akan mengelirukan dan bercanggah dengan ajaran Islam akan diawasi kementerian. Ini adalah tanggungjawab kami.

"Soal menjaga keselamatan di seluruh negara adalah tanggungjawab kami, jika didapati wujud usaha (menghidupkan ajaran Al-Arqam), dengan itu tindakan akan diambil lebih awal dan polis akan membantu agensi yang berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain