suria

Empat Individu Termasuk Sepasang Kekasih Disyaki Pengedar Dadah Ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan empat individu disyaki pengedar dadah, termasuk sepasang kekasih selain merampas dadah bernilai RM140,000 dan wang tunai RM47,000 dalam tiga operasi di sini sejak tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamad berkata dalam serbuan pertama hasil maklumat orang awam dan risikan itu, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Maya, dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam 18 Mei.

"Kami merampas ganja seberat 1,880 gram, 1,500 pil Eramin 5,319 biji pil Ecstacy dan 27.55 gram ketamin yang disembunyikan dalam sebuah bilik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kedua, seorang lelaki berusia 27 tahun yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta ditahan ketika polis melakukan rondaan harian di sebuah kawasan perumahan di Sungai Way pada pukul 3.30 petang semalam.

Lelaki terbabit membawa polis ke sebuah rumah teres di kawasan itu dan polis menemui hampir 2,000 pil Eramin 5 dalam rumah berkenaan, katanya.

Beliau berkata pada pukul 11.15 malam hari yang sama, polis menyerbu sebuah rumah di Seksyen 17 dekat sini dan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan teman wanitanya.

Arjunaidi berkata pelbagai dadah ditemui, antaranya ketamin, ganja, syabu, pil Eramin 5, wang tunai dan alat penimbang untuk menimbang bungkusan atau plastik dadah itu.

"Kami masih menyiasat sama ada kesemua mereka yang ditahan ini ada kaitan antara satu sama lain atau tidak. Dari mana mereka mendapat bekalan juga masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata polis percaya kesemua suspek yang positif ujian air kencing itu aktif mengedar dadah di sekitar Petaling Jaya termasuk pusat hiburan sejak beberapa bulan lepas.

Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Lain