suria

Bakal Pegawai TUDM Disyarat Ada Ijazah

KUALA LUMPUR: Individu yang berminat untuk menjadi pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disyarat memiliki kelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam mana-mana bidang sebelum menyertai pasukan itu.

Panglimanya Jen Datuk Seri Rodzali Daud berkata syarat itu dikenakan untuk menjadikan perajurit TUDM lebih berkualiti dan intelektual sejajar dengan perkembangan semasa.

"ATM (Angkatan Tentera Malaysia) secara amnya dan TUDM secara khususnya telah membuat keputusan untuk mengambil mereka yang sekurang-kurangnya berkelulusan ijazah bagi pengambilan akan datang (tahun depan).

"Jika sebelum ini pegawai yang dilantik hanya pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya namun selepas ini kita mahukan mereka yang berkualiti menganggotai pasukan ini," katanya pada sidang media sempena ulang tahun TUDM ke-52.

Beliau berkata pihaknya juga telah merancang pelbagai strategi bagi menarik dan menanam minat golongan muda untuk menjadi perajurit TUDM.

"Sempena ulangtahun TUDM kali ini, kita akan melaksanakan pelbagai program dan kempen bagi menarik golongan muda untuk memilih TUDM sebagai pilihan kerjaya utama mereka.

"Kerjaya sebagai anggota TUDM adalah kerjaya yang sangat menarik untuk diceburi. Jadi kita mahu menguar-uarkan perkara ini supaya mereka tidak memilih kerjaya ini (TUDM) sebagai kerjaya alternatif atau dalam pilihan ketiga atau keempat mereka," katanya.

Rodzali berkata sempena ulang tahun TUDM ke-52 bertemakan "Strategik TUDM Untuk Melangkah Ke Masa hadapan" yang bakal disambut 1 Jun ini, pelbagai acara telah diatur termasuk perarakan motosikal dan Hari Terbuka Muzium TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain