suria

SPRM Boleh Soal Siasat Saksi Selepas Waktu Pejabat - Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh meneruskan amalannya sedia ada menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas menolak rayuan anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah dan memerintahkannya membayar kos RM20,000 kepada SPRM.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusof, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdull Hamid Embung dan Hakim Datuk Heliliah Mohd Yusof, berkata penghakiman secara bertulis akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Ia mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Dis, 2009 mengenai tafsiran Seksyen 30(3)(a) dan 30(1)(a) Akta SPRM 2009 bahawa pemeriksaan ke atas saksi tidak boleh dihadkan kepada waktu bekerja sahaja dan penyiasatan boleh dilakukan pada bila-bila masa yang diperlukan.

Pada 12 Jan, Tan memperoleh kebenaran untuk mencabar keputusan yang membatalkan keputusan Makkamah Tinggi pada 19 Nov, 2009, bahawa SPRM hanya boleh menyoal siasat saksi antara 8.30 pagi dan 5.30 petang.

Tan, 40, telah menyaman Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, penolong superintenden SPRM Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM mendakwa penahanannya dan disoal siasat selama 16 jam semalaman pada 15 Julai tahun lepas oleh SPRM adalah menyalahi undang-undang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain