suria

Permohonan Dr Pornthip Beri Keterangan Melalui Video Didengar 11 Jun

SHAH ALAM: Koroner yang mengendalikan inkues Teoh Beng Hock menetapkan 11 Jun untuk mendengar permohonan Kerajaan Negeri Selangor untuk membenarkan pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand memberikan keterangan melaluai telepersidangan video.

Koroner Azmil Muntapha Abas hari ini mengarahkan peguam yang mewakili kerajaan negeri itu Malik Imtiaz Sarwar memfailkan permohonan rasmi bagi mendapatkan kebenaran itu dalam tempoh seminggu bagi membolehkan semua pihak memberikan jawapan balas sebelum beliau mendengar perkara itu.

"Permohonan rasmi itu akan membantu mahkamah mengetahui kenapa Dr Pornthip tidak boleh datang," kata Azmil.

Azmil akan mengumumkan keputusannya esok sama ada abang Teoh, Meng Kee, akan diberikan kebenaran untuk mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz bagi menghina mahkamah kerana mendakwa Dr Pornthip sebagai 'penipu".

Terdahulu, Malik Imtiaz memberitahu mahkamah Dr Pornthip telah memaklumkan kerajaan negeri yang beliau tidak dapat menghadiri inkues itu kerana beliau tidak mendapat pelepasan daripada Kementerian Kehakiman Thailand.

Bagaimana, beliau bersedia memberikan keterangan melalui telepersidangan video.

"Kami bersedia membuat persediaan yang perlu untuk memudahkan Dr Pornthip dan mahkamah mempunyai kuasa utuk membenarkan permohonan kami," kata Malik Imtiaz.

Peguam Tan Hock Chuan, mewakili Jabatan Peguam Negara berkata, koroner mempunyai kuasa untuk membenarkan permohonan seumpama itu mengikut Seksyen 272B Kanun Acara Jenayah (CPC) tetapi kerajaan negeri Selangor perlu memfailkan permohonan rasmi.

"Saya cadangkan buat permohonan rasmi berhubung perkara ini untuk mahkamah meneliti sama ada ia adalah adil kepada semua pihak untuk memberikan jawapan balas kepada permohonan itu," kata Tan.

Teoh, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai tahun lepas selepas disoal siasat semalaman di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan yang sama berhubung penyelewengan peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Sebelum ini, Azmil Muntapha menetapkan hari ini untuk mendengar pandangan Dr Pornthip, yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor, selepas pakar forensik British Prof Dr Peter Vanezis, bagi pihak SPRM, memberikan keterangan pada 26 dan 27 April.

Dr Porntip dalam keterangannya sebelum ini dalam inkues itu menyatakan kematian Teoh berpunca "80 peratus dibunuh" berdasarkan gambar-gambar di tempat kejadian dan kecederaan pada mayat Teoh.

Beliau kemudiannya menyatakan beliau menghadapi tekanan politik supaya tidak memberikan keterangan lanjut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain