suria

Pegawai Polis Didakwa Palsukan Dokumen Kerja Pembaikan

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan memalsukan dokumen bagi kerja-kerja pembaikan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang bernilai hampir RM6,000, lima tahun lepas.

ASP Samsudin Haji Sirat, 54, yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Cawangan Logistik Bekalan IPK Selangor, Seksyen 15, di sini, pada bulan Februari 2005. Mengikut pertuduhan pertama, Samsudin didakwa menggunakan satu dokumen yang beliau tahu adalah palsu bertarikh 7 Januari 2005, milik Deng Engineering and Trading.

Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua di bawah seksyen yang sama, Samsudin didakwa menggunakan satu dokumen iaitu invois bernombor 0222 bertarikh 14 Mac 2005 syarikat terbabit Deng Engineering and Trading, di mana beliau tahu bahawa ia adalah palsu.

Bagi pertuduhan ketiga, Samsudin didakwa menggunakan invois bernombor 0222 syarikat Deng Engineering and Trading bertarikh 14 Mac 2005 yang mengandungi butiran palsu mengenai kerja-kerja pembaikan di Stor bekalan IPPK Selangor di Seksyen 15 di sini sedangkan sebenarnya kerja-kerja itu tidak dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

Bagi pertuduhan ini, beliau didakwa di bawah Seksyen 11(C) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum Seksyen 16 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM8,000.

Bagaimanapun peguam tertuduh, M.K.Thas meminta mahkamah mengurangkan nilai ikat jamin kepada RM5,000 atas alasan gaji anak guamnya rendah dan anak guamnya itu memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan berlangsung.

Hakim Mat Ghani Abdullah kemudiannya memerintahkan supaya Samsudin dikenakan ikat jamin RM6,000 dengan satu penjamin, dan menetapkan 16 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes, dan 11 hingga 15 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan bagi ketiga-tiga tuduhan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain