suria

Najib Mahu Media Bantu Kerajaan Bawa Transformasi Lebih Besar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau ingin melihat media di negara ini memainkan peranan sebagai rakan kongsi kerajaan dan membantu membawa perubahan dan transformasi lebih besar kepada negara.

Dalam konteks ini, kata Perdana Menteri, sudah ada tanda positif kebelangkangan ini antaranya pemulihan ekonomi negara yang menyakinkan dan lonjakan Malaysia daripada tempat ke-18 kepada tempat ke-10 kedudukan dalam kalangan negara paling berdaya saing di dunia mengikut Laporan "World Competitiveness Yearbook 2010".

Kemampuan Malaysia menarik pelaburan asing juga terbukti antaranya komitmen Qatar baru-baru ini untuk melabur US$5 bilion, pengumuman pelaburan bernilai US$1.2 bilion daripada Western Digital serta isyarat positif dari negara-negara Teluk untuk lebih banyak melabur di negara ini.

"Ini semua kejayaan kita...sebab itu saya ajak media jadi rakan kongsi dalam perjalanan transformasi kita," katanya sebelum menyempurnakan majlis pecah tanah projek bangunan ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Chan Sow Lin di sini hari ini.

Katanya beliau melihat agenda utama dan hala tuju yang ditetapkan untuk negara ketika ini tidak perlu diubah, kerana beliau yakin inilah hala tuju dan agenda yang sebaik-baiknya untuk masa depan.

"Kalau diteruskan agenda utama serta hala tuju ini dengan falsafah yang baru, dan dengan model (ekonomi) baru dan sebagainya, saya rasa inilah ramuan terbaik untuk masa depan negara Malaysia yang tercinta," katanya.

Najib berkata beliau faham bahawa media lebih berminat dengan cerita-cerita sensasi, dan menurutnya cerita sensasi sedemikian "sedikit sebanyak memang boleh", tetapi pada masa yang sama media perlu menitikberatkan kepada berita berbentuk keilmuan supaya masyarakat dapat berfikir secara lebih intelektual dan bjektif.

"Ini juga peranan akhbar. Jangan (asyik) cerita sensasi, cerita panas atau konflik. Saya tahu dalam bidang kewartawanan, di Barat akan tekankan bahawa konflik itu bermakna berita itu boleh dijual," katanya.

"Tapi ia tidak semestinya menjadi kaedah kita, sebab kita nak bawa negara kepada kejayaan fizikal dan intelektual," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain