suria

Sepasang Kekasih Ditahan Dipercayai Pengedar Dadah

KAJANG: Sepasang kekasih dipercayai pengedar dadah di sekitar Lembah Klang ditahan polis di sebuah rumah di Cheras pagi tadi dan merampas dadah seberat sekilogram.

Pasangan berusia 43 dan 35 tahun itu ditahan kira-kira 5 pagi tadi di sebuah rumah teres dua tingkat di Damai Perdana, Cheras di sini yang dipercayai dijadikan tempat membungkus dadah sebelum dipasarkan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, dalam serbuan itu polis merampas dadah jenis ecstacy seberat 676 gram, ketamin (344 gram) dan syabu (2.7 gram) yang dianggarkan bernilai RM18,000.

"Turut dirampas wang tunai bernilai RM940 dan beberapa keping mata wang Yen, kad kredit, pasport dan tiga buku bank," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Waja dipercayai milik salah seorang suspek.

Mohd Shakaruddin berkata, kedua-dua suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan disahkan positif dadah jenis syabu.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 47 tahun ditahan di sebuah premis yang menjalankan kegiatan memproses semula minuman keras di Cheras Hartamas di sini kira-kira 9.30 malam, Sabtu lepas.

"Premis itu memproses semula minuman keras yang berada di pasaran dengan mencampurkan bahan cecair lain sebelum ditinkan semula sebelum dijual. Satu tin minuman keras asli boleh menghasilkan tiga tin minuman keras yang telah dicampurkan cecair lain dan dijual dengan harga pasaran," katanya.

Beliau berkata, 1,608 tin minum keras pelbagai jenama seperti Tiger Beer, Heineken dan Carlsberg ditemui di dalam premis itu, manakala 3,768 tin lagi beserta 96 botol minum keras ditemui di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga yang telah diubahsuai.

Katanya, kes itu telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. - BERNAMA

Artikel Lain