suria

Samy Vellu Telah Beritahu Saya Untuk Letak Jawatan: Palanivel

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel hari ini berkata, Datuk Seri S. Samy Vellu telah memaklumkan kepadanya bulan lepas tentang hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai presiden parti sebelum tamat penggal memegang jawatan pada 2012.

"Presiden MIC telah beritahu saya pada April lepas tentang hasratnya untuk melepaskan jawatan presiden parti beberapa bulan sebelum penggalnya berakhir," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini.

Palanivel berkata, Samy Vellu telah menjelaskan kepadanya tentang sebab beliau berbuat demikian dan kenapa beliau tidak mahu meletakkan jawatan dengan segera, berikutan desakan yang meminta beliau berbuat demikian selepas kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun, Palanivel, yang kalah pada pilihan raya umum 2008 tetapi dilantik sebagai Senator awal bulan ini, tidak mendedahkan alasan yang diberi oleh Samy Vellu.

"Saya faham penjelasannya. Saya fikir beliau telah membuat penjelasan yang baik," katanya mengulas mengenai pengumuman Samy Vellu pada Selasa.

Semalam, Samy Vellu yang menerajui MIC selama 31 tahun, mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatannya dalam tempoh 'lapan atau sembilan' bulan sebelum penggalnya sekarang tamat pada Mei 2012.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan penggantinya.

"Saya akan berundur dalam masa lapan atau sembilan bulan selepas penggal saya tamat pada Mei 2012. Saya akan serahkan jawatan presiden kepada pemimpin generasi ketika itu. Inilah yang telah saya maklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) semasa saya berjumpa beliau sebelum pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor," kata Samy Vellu semalam.

Samy Vellu, 74, yang dipilih semula untuk menerajui parti buat kali kesembilan pada tahun lepas, juga berkata apabila tiba masanya untuk beliau bersara, beliau telah pun melatih timbalan presiden untuk memimpin parti, tanpa menamakan timbalannya Palanivel. - BERNAMA

Artikel Lain