suria

Samy Vellu Patut Undur Sekarang - Pemuda MIC

PETALING JAYA: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu sepatutnya melepaskan jawatannya sekarang bagi membolehkan pemimpin pelapis mengambil-alih teraju kepimpinan parti.

Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan berkata, ahli-ahli parti di semua peringkat sudah cemuih dengan dengan janji-janji manis Samy Vellu untuk berundur selama ini.

"Saya telah hilang kepercayaan kepada presiden, seperti mana beliau (Samy Vellu) hilang kepercayaan dengan pucuk kepimpinan parti yang lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini sambil memberitahu bahawa Samy Vellu memainkan peranan mendesak bekas Presiden MIC, Tun V.T. Sambanthan supaya melepaskan jawatannya.

Kata Mugilan, parti komponen Barisan Nasional itu kini mahukan perubahan selepas 31 tahun diterajui bekas Menteri Kerja Raya itu.

Beliau kini bimbang MIC akan tumbang jika tiada sebarang perubahan berlaku meskipun terdapat mesej yang jelas dari pimpinan, ahli parti dan komuniti India yang mahukan presiden baru.

"Kita perlu merubah parti. Kita akan tewas pada pilihan raya umum akan datang jika MIS masih dipimpin oleh Samy Vellu," katanya yang menjangkakan pilihan raya umum bakal diadakan pada tahun depan.

Semalam, Samy Vellu mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan jawatannya kepada penggantinya dalam tempoh lapan atau sembilan bulan sebelum tempohnya tamat pada Mei 2012.

Artikel Lain