suria

Pengusaha Kereta Sewa Diperintah Bela Diri Bersabit Kes Dadah

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang pengusaha kereta sewa membela diri terhadap pertuduhan mengedar 124.113 gram kanabis lima tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Mohamad Ali Husainar, 34.

Hakim bagaimanapun melepas dan membebaskan rakan Mohamad Ali, Zaharullizam Lamajid, 33, yang didakwa dengan pertuduhan yang sama.

Kedua-dua mereka yang berasal dari Johor Baru dituduh mengedar dadah di laluan kenderaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam semasa memasuki Malaysia dari Thailand pada 6 April 2005.

Mahkamah dimaklumkan bahawa dadah itu ditemui di bahagian siling (bumbung) van yang dipandu oleh Mohamad Ali, yang ditahan oleh cawangan narkotik Kastam di Kompleks CIQ itu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka diwakili peguam Rosal Azimin Ahmad, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang mewakili Jabatan Kastam, Azamuddin Abdul Aziz.

Zamani menetapkan 10 Jun untuk mendengar hujah pembelaan. - BERNAMA

Artikel Lain