Mahasiswa Didakwa Di Mahkamah Universiti Jika Ada Laporan Polis - TNC UKM - Semasa | mStar

Mahasiswa Didakwa Di Mahkamah Universiti Jika Ada Laporan Polis - TNC UKM

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mendakwa mana-mana pelajar di mahkamah universiti itu sekiranya terdapat laporan polis yang dibuat terhadap pelajar terbabit.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Alumninya, Datuk Prof Dr Mohamad Abdul Razak berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi meneliti kesahihan laporan itu sebelum memutuskan pelajar yang terbabit akan disabitkan kesalahan atau sebaliknya.

“Setiap laporan polis yang diterima UKM akan melalui proses siasatan dan akan membabitkan perbicaraan di mahkamah universiti,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang mendesak Bahagian HEP UKM supaya menggugurkan pertuduhan terhadap empat pelajar jurusan Sains Politik universiti itu.

Kesemua pelajar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham (Presiden), Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Wong King Chai (Exco) ditahan polis pada 22 April lalu di pekan Rasa dan Ampang Pecah sewaktu Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Hilman akan didakwa secara berasingan pada 2 Jun ini manakala yang lain akan didakwa sehari selepas itu.

Kesemua pelajar akan didakwa kerana melakukan kesalahan menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Mengulas lanjut, Mohamad mengakui terdapat pelajar jurusan yang sama berada semasa pilihan raya kecil itu baru-baru ini bagi membuat kajian mengenainya.

“Bagaimanapun, kehadiran mereka di sana telah dibuat permohonan secara rasmi kepada pihak universiti bagi membenarkan mereka untuk berbuat demikian.

“Penahanan pihak polis terhadap empat pelajar itu merupakan suatu keadaan yang berbeza dan perbicaraan di mahkamah universiti bertujuan untuk mendapatkan keterangan mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu Mohamad mengingatkan setiap pelajar supaya tidak menyertai mana-mana parti politik dan tindakan akan dikenakan sekiranya mereka berbuat demikian.

“Namun, masih terlalu awal untuk kami menentukan keputusan terhadap empat pelajar berkenaan kerana siasatan masih dijalankan, malah dakwaan belum lagi dilakukan,” ujarnya.

Jika disabit kesalahan di bawah AUKU, kesemua pelajar terbabit boleh dikenakan tindakan tatatertib dan boleh dihukum di bawah Kaedah-kaedah Universiti Kebangsaan Malaysia (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain

Gadis nyaris dirogol lelaki bogel

Ronaldo, Georgina berkahwin secara senyap?