suria

Lelaki Sekali Lagi Buat Laporan Ditembak Polis Tahun Lepas

SHAH ALAM: Seorang operator peralatan kontena sekali lagi membuat laporan polis berhubung kejadian dia ditembak anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Seksyen 7 di sini, pada April tahun lepas.

Shahril Azlan Ahmad Kamil, 26, yang bekerja di Pelabuhan Utara, Klang, dekat sini membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.

Katanya, beliau sekali lagi membuat laporan polis hari ini kerana mendakwa tiada tindakan diambil terhadap laporan polis yang dibuat oleh bapanya sehari selepas kejadian pada kira-kira 12 tengah malam, 16 April tahun lepas itu di IPD Klang.

"Bapa saya telah membuat laporan polis sehari selepas hari kejadian namun tiada tindakan sehingga hari ini, justeru saya membuat satu lagi laporan hari ini dengan harapan tindakan selanjutnya diambil," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu sambil ditemani dua peguam yang mewakilinya Fadiah Nadwa Fikri dan Puspawati Rosman.

Menceritakan kejadian pada malam itu, Shahril Azlan berkata, ketika itu beliau dan seorang teman sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menonton perlawanan bola di sebuah restoran di Seksyen 7 di sini.

"Ketika berhenti di sebuah lampu isyarat saya nampak sekatan polis kira-kira 100 meter dari jarak saya berhenti dan saya panik apabila menyedari cukai jalan saya telah tamat tempoh.

"Saya kemudian mengundurkan kereta ke arah selekoh jalan dan mendengar dua hingga tiga das tembakan dilepaskan ke arah kami," katanya dan menurutnya tembakan itu menembusi cermin keretanya sehingga mengenai bahu, rusuk dan tulang belakangnya".

Ditanya mengapa membuat laporan susulan hanya selepas setahun kejadian, Fadiah Nadwa berkata, anggota keluarga Shahril Azlan tidak tahu langkah yang perlu diambil selepas membuat laporan awal sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi berkata, siasatan akan dilakukan terhadap laporan itu.

"Siasatan lanjut akan dijalankan dan kita akan rujuk semula laporan lama yang dibuat kerana kejadian ini berlaku kira-kira setahun lalu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain