suria

KPT Kecewa Sudut Pidato Di IPTA Tiada Sambutan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kecewa apabila sudut pidato yang diwujudkan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak mendapat sambutan.

Perkara itu disuarakan Timbalan Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah apabila ruang yang disediakan pihak universiti itu tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

"Malah ada di sesetengah IPTA, sudut pidato didapati terus sepi sejak ia dilancarkan empat bulan lepas," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai Pesta Intelek dan Hujah (PETAH) 2010 di sini hari ini.

Saifuddin berkata, lebih mendukacitakan apabila sudut pidato itu hanya aktif ketika pilihan raya kampus, sedangkan ia diwujudkan bukan hanya untuk tujuan politik sahaja sebaliknya untuk mengetengahkan isu-isu lain yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa.

"Apabila tidak disediakan ruang, kata pentadbir universiti sekat kebebasan tetapi bila ada tidak digunakan pula. Ada juga mahasiswa yang tidak tahu kewujudan sudut pidato di universiti mereka kerana kurang promosi," katanya.

Sementara itu, mengenai PETAH 2010, Saifuddin berkata, ia akan diadakan pada 27 Mei hingga 1 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur dan akan berlangsung selama 111 jam tanpa henti.

"Berbanding tahun lepas ia diadakan selama 100 jam dan hanya menggunakan bahasa Melayu tetapi kali ini ia terbuka kepada bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab," katanya.

Setakat ini, 60 pasukan telah mengesahkan penyertaan iaitu 30 (bahasa Melayu), 20 (bahasa Inggeris), enam (bahasa Mandarin) dan empat penyertaan untuk bahasa Tamil dan Arab.

Mereka yang berminat untuk mengambil bahagian boleh layari laman web www.mindamind.wordpress.com atau hubungi pengurus program Ahmad Badrulhisam Che Kasim di talian 012-2968929 atau Mohd Shukri Mohd Arif di talian 013-6640137. - BERNAMA

Artikel Lain