suria

Dua Kematian Akibat Denggi Dilaporkan Dalam Masa 7 Hari

PUTRAJAYA: Sejumlah 766 kes demam denggi dengan dua kematian dilaporkan bagi tempoh tujuh hari bermula 9 Mei lalu, peningkatan sebanyak enam kes atau satu peratus berbanding 760 kes pada minggu sebelumnya.

Enam negeri menunjukkan peningkatan kes dengan Selangor mencatatkan 36 kes, Negeri Sembilan (sembilan kes), Melaka (lima kes), Terengganu (empat kes), Pahang (dua kes) dan Pulau Pinang (satu kes).

"Jumlah kes terkumpul yang dilaporkan bagi tahun ini adalah 17,981 kes berbanding 20,187 kes bagi tempoh yang sama tahun 2009," kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican,dalam kenyataan hari ini.

"Walaupun bilangan kes menurun sebanyak 11 peratus pada tahun ini, namun bilangan kematian meningkat dengan kadar yang sama 11 peratus dari 52 kematian tahun lepas kepada 58 kematian dalam tempoh yang sama tahun ini," katanya.

Dua kematian yang dilaporkan pada minggu lepas katanya adalah dari Selangor.

Dr Mohd Ismail berkata, kedua-dua kes kematian yang disebabkan oleh Dengue Shock Syndrome ini berlaku di kawasan yang mempunyai kadar pembiakan nyamuk Aedes yang tinggi iaitu di antara dua peratus hingga 3.6 peratus dan satu daripadanya berlaku di kawasan berisiko tinggi denggi.

Katanya, sepanjang minggu lepas, terdapat 36 kawasan berisiko tinggi yang masih aktif, berbanding 35 lokaliti berisiko tinggi pada minggu sebelumnya, melibatkan negeri-negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Daripada jumlah tersebut, 18 kawasan masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi dan hanya empat dari 36 lokaliti berisiko tinggi melaksanakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan tersebut.

Katanya, sikap tidak endah masyarakat dalam memastikan tempat tinggal dan tempat kerja mereka bebas daripada pembiakan Aedes menyukarkan usaha-usaha mengawal penularan denggi dan meningkatkan risiko kematian akibat denggi.

"Penyemburan racun serangga semata-mata oleh Jabatan Kesihatan tidak akan berkesan kerana nyamuk dewasa baru akan muncul selepas semburan selagi tempat-tempat pembiakan Aedes masih wujud."

"Usaha pemusnahan tempat pembiakan Aedes secara individu juga tidak akan berkesan kerana nyamuk yang membiak di rumah jiran boleh terbang dan mengigit jirannya pula."

Oleh itu, katanya masyarakat di kawasan bermasalah denggi, disaran dapat berkerjasa memastikan kediaman dan tempat kerja mereka bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes melalui aktiviti gotong-royong serta meluangkan masa 10 minit seminggu memeriksa rumah masing-masing.

Sementara itu, bagi tempoh sama, sejumlah tiga kes penyakit Chikungunya dilaporkan, penurunan sebanyak dua kes berbanding lima kes pada minggu sebelumnya.

Dua daripada kes itu di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.

Jumlah terkumpul kes Chikungunya ialah 549 kes berbanding 1,945 kes, penurunan sebanyak 1,396 kes atau 72 peratus untuk tempoh yang sama pada tahun 2009. - BERNAMA

Artikel Lain