suria

Wanita Warga Nigeria Dipenjara Kerana Menipu

KUALA LUMPUR: Seorang warga Nigeria hari ini dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah menipu juruwang di sebuah pasar raya dengan menukar tanda harga beberapa pakaian.

Majistret Suriatey Mohamed memerintahkan Adabonyan Abisola Kofoworola, 25, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap, 18 Januari lalu.

Tertuduh yang merupakan seorang suri rumah didakwa menipu juruwang Carrefour dengan menukar 11 tanda harga pakaian dengan niat memperdayakan juruwang itu dengan harga pakaian yang lebih murah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Carrefour Metro Prima Kepong, Sentul pada 18 Januari lepas, pukul 6.20 petang.

Ibu kepada seorang anak itu, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain