suria

Strategi Perlu Dirangka Untuk Galak Usahawan Muda Terus Kekal Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Satu strategi yang betul perlu dirangka bagi menggalakkan para usahawan muda dan bijak untuk terus kekal berada di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini bukan hanya dilihat sebagai tanda kesetiaan mereka kepada negara tetapi bagi memastikan mereka turut menyumbang kepada pembinaan negara bangsa menerusi pembabitan mereka dalam perniagaan.

Muhyiddin berkata ini juga disebabkan fenomena penghijrahan terutamanya generasi muda, dari negara-negara Islam ke negara-negara maju, kini menjadi satu perkara yang membimbangkan.

"Beberapa kajian menunjukkan bahawa dalam tempoh 50 tahun lepas, terdapat satu jumlah besar golongan intelektual berhijrah dari dunia Islam ke negara-negara perindustrian," katanya semasa berucap pada majlis prapembukaan praforum dan pameran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-enam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Muhyiddin berkata fenomena ini bukan hanya menjejaskan pengagihan sumber manusia tetapi juga daripada segi prospek ekonomi dan pembangunan di negara-negara Islam berkenaan dalam jangka masa panjang.

Timbalan Perdana Menteri berkata undang-undang imigresen di negara-negara maju dibentuk bagi menarik kemasukkan nilai ekonomi yang tinggi, menambah bilangan para intelektual dan profesional bagi memastikan kemapanan kadar pertumbuhan ekonomi tinggi.

"Dalam hal ini, mereka telah berjaya, dengan pelbagai faktor-faktor penarik tambahan istimewa yang ditawarkan, antaranya seperti rangsangan persekitaran intelektual dan ganjaran berkesan serta sistem pengiktirafan.

"Tetapi, faktor-faktor penolak di beberapa negara asal secara tidak langsung juga memainkan peranan, termasuk kekangan kebebasan intelektual dan kekurangan peluang-peluang ekonomi yang saksama," katanya.

Muhyiddin berkata keadaan ini pastinya akan menjadi lebih buruk jika tidak ditangani dengan sewajarnya.

Bagi mengubah ketirisan sumber manusia intelektual kepada menarik kembali golongan ilmuan, satu ekosistem liberal yang tepat perlu diwujudkan bagi merangsang kreativiti dan satu ekosistem yang adil sebagai ganjaran dan menggalakkan usaha gigih dalam masyarakat.

"Ini juga turut memerlukan pengwujudan satu ekosistem dan infrastruktur yang fleksibel yang akan menyokong peringkat pembangunan berbeza generasi muda dan membolehkan mereka cemerlang dalam pelbagai bidang mereka ceburi," kata Muhyiddin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain