suria

Samy Vellu Umum Lepas Jawatan Presiden MIC Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan presiden MIC yang dipegangnya sejak 1979 dalam tempoh "lapan atau sembilan" bulan sebelum penggalnya sekarang tamat pada Mei 2012.

Semasa membuat pengumuman itu pada sidang akhbar sebelum berlangsungnya konvensyen MIC Wilayah Persekutuan di sini, presiden MIC itu tidak menyatakan kepada siapa beliau akan menyerahkan jawatan tertinggi parti itu.

"Saya akan berundur dalam masa lapan atau sembilan bulan selepas penggal saya tamat pada Mei 2012. Saya akan serahkan jawatan presiden pada waktu itu. Inilah yang telah saya maklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) semasa saya berjumpa beliau sebelum pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

"Saya akan serahkan kepimpinan parti kepada pemimpin generasi akan datang. Sebelum itu, saya akan melakukan rombakan parti secara menyeluruh bermula dengan pemimpin cawangan dan negeri. Orang selalu bertanya bila saya akan melepaskan jawatan saya dan inilah tempoh masa yang saya telah tetapkan.

"Saya mahu semua anggota parti tahu bahawa transformasi MIC akan diteruskan. Peralihan kuasa dalam MIC akan berjalan dengan lancar," katanya.

Samy, 74, dipilih semula untuk menerajui parti buat kali kesembilan pada tahun lepas.

"Apabila saya bersara nanti, saya sudah melatih timbalan presiden untuk memimpin parti," katanya tanpa menamakan timbalannya Datuk G. Palanivel.

Sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, presiden MIC itu telah didesak melepaskan jawatannya itu bagi memberi laluan kepada pemimpin baru.

MIC mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-12 apabila tewas di enam daripada sembilan kawasan Parlimen yang ditandinginya bagi mewakili Barisan Nasional (BN).

Antara yang gagal mempertahankan kerusi pada pilihan raya umum 2008 itu ialah Samy Vellu sendiri dan Palanivel.

Parti itu bagaimanapun berjaya menawan semula satu kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil bulan lepas.

Kerusi itu yang sebelum ini dipegang oleh Palanivel, dimenangi melalui Ketua Penerangan parti P. Kamalanathan.

Keputusan Samy Vellu untuk tidak menamakan penggantinya hari ini akan menimbulkan persoalan mengenai siapa yang akan mengambil alih kepimpinan parti itu kerana Palanivel tidak diberikan peluang bertanding di kerusi Parlimen itu oleh pucuk pimpinan BN.

Bagaimanapun, Palanivel dilantik senator awal bulan ini, membayangkan kedudukan beliau dalam politik masih belum pasti.

Mengulas lanjut, Samy Vellu berkata beliau sebenarnya ingin bersara lebih awal tetapi enggan berbuat demikian kerana bimbang parti akan menghadapi masalah.

"Saya perlu letakkan parti pada landasan yang betul dan semua orang (pemimpin) di tempat masing-masing terlebih dahulu dan selepas itu barulah saya boleh kata...Ok kamu semua boleh ambil alih," katanya.

Samy Vellu juga berkata selama ini beliau bukan hanya membazirkan masanya di pejabat tetapi sebaliknya menegaskan beliau perlu melakukan tugas penting sebelum pesaraannya.

"Perlu faham saya berada di pejabat bukan hanya membazirkan masa saya, saya memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada untuk (merumuskan strategi) memperkukuhkan parti dan menukar jentera parti menjadi jentera yang bekerja, dan kemudian menyingkirkan pemimpin yang tidak melaksanakan kerja mereka...singkirkan mereka dan gantikan dengan pemimpin baru.

"Jadi apabila mereka mengambil alih, kumpulan pemimpin yang "tidak bekerja" ini sudah tiada lagi," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain