suria

Kementerian Kaji Bina Jalan Baru Atasi Kesesakan MRR2

SHAH ALAM: Kementerian Kerja Raya sedang mengkaji cadangan membina jalan bagi menghubungkan Sungai Besi ke Persimpangan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) di Setiawangsa, Kuala Lumpur bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kajian itu dijangka selesai hujung tahun ini.

Jumlah trafik di MRR2 kini mencecah 180,000 ke 200,000 kenderaan setiap hari yang jauh melebihi kapsitinya yang direka untuk menampung 100,000 ke 120,000 kenderaan sehari, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) di sini hari ini.

Beliau berkata, kajian itu antara lain bagi mengenal pasti jajaran yang sesuai bagi menyambungkan jalan itu dengan rangkaian jalan raya sedia ada selain daripada segi pembiayaan supaya tidak membebankan para pengguna nanti daripada segi pembayaran tol.

Katanya, pembinaan jalan raya pada masa kini perlu mengambil kira kesan prasarana itu kepada penempatan, pembangunan industri dan juga alam sekitar serta nilai tambah yang dibawa oleh projek berkenaan bukannya seperti dahulu di mana jalan dibina untuk memudahkan pergerakan rakyat dari satu tempat ke satu tempat.

Mengenai kadar tol untuk LKSA, beliau berkata, ia akan diumumkan oleh pemegang konsesi lebuh raya itu Projek Lintasan Shah Alam Sdn Bhd (PROLINTAS) dan kadarnya dijangka lebih rendah daripada kadar tol di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Setelah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi PROLINTAS Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Shaziman berkata PROLINTAS bersetuju LKSA digunakan secara percuma selama dua bulan mulai hari ini.

Hamad Kama Piah pula berkata, lebuh raya sepanjang 14.7km yang dibina dengan kos RM750 juta itu siap dua bulan setengah lebih awal daripada jadual asal iaitu dalam tempoh 36 bulan.

Lebuh raya tiga lorong bagi setiap laluan ini menghubungkan Shah Alam dan projek perumahan Alam Impian di sini dengan Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Kesas. Ia menggunakan sistem tol terbuka dan kutipan tol akan dilakukan di plaza tol Alam Impian dan Seri Muda.

Dengan adanya LKSA, perjalanan dari Lebuhraya Kesas ke Lebuhraya Persekutuan yang kini memakan masa 30 minit akan dapat dikurangkan kepada 10 minit, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain